Rabu, Januari 06, 2010

Kalam Saudara Kita


Saudaraku…
Dulu kita semua pernah bersama , Mengharungi suka dan duka, Walau payah kita semua tetap hadapi jua, Kerana yakin pada Yang Maha Pencipta. Saudaraku…
Detik demi detik yang kita semua lalui, Hari demi hari seiring kita tempuhi bersama,
Sungguh ku tak sedari betapa lekanya diri, Usia semakin menjangkau kepada manusia tua. Saudaraku…
Adakah kita semua dalam perjuangan, Adakah hanya lafaz yang pandai diungkapkan,
Mungkin ada yang bersalutkan tangisan, Namun bergelak ketawa kekadang kedengaran.


Saudaraku…
Mengertilah itu semua hanya gurauan, Gurauan yang pastinya ada balasan,
Balasan yang tentunya tidak kita ketahuan, Marilah sama-sama kita renungkan. Saudaraku…
Benarkah perjuangan kita ini, Kekadang terasa sangsi dengan semua ini,
Mungkinkah ini lakonan yang perlu kita hadapi, Atau sebuah impian yang hanya sekadar mimpi.
Saudaraku… Benarlah kebenaran itu pahit untuk ditelan, Hanya pada mereka yang enggan pada Tuhan,
Namun manis bagi mereka yang beriman, Kerana itu asas kepada kebahagiaan.


Saudaraku…
Apa yang kita kejar sebenarnya, Adakah hanya bayangan atau fatamorgana,
Yang sememangnya manusia sering terleka, Tapi hakikatnya manusia itu memang pelupa.
Saudaraku… Telah diketahui sebenarnya, Yang Maha Mencipta menciptakan kita,
Tidak lain melainkan hanya, Menjadi manusia yang bertaraf hamba. Saudaraku…
Sungguh berat untuk kukatakan, Sungguh malu untuk kulafazkan,
Sungguh hina diri ini untuk diungkapkan, Betapa lemahnya diri kita bila di hadapan Tuhan.


Saudaraku…
Mengertilah hidup ini yang sementara, Dunia ini bukan tujuan kita,
Tetapi tempat bagi menguji iman kepadaNya, Akhiratlah yang pasti ditempuhi kita semua.
Saudaraku… Memang sekejap kita bersua muka, Dan akupun sedar betapa kurangnya jasa,
Mungkin di kalangan kita ada berselubung dusta, Kekadang berdosa kekadang berpahala.
Saudaraku… Walaupun begitu banyak keadaannya, Memang kita tidak terlepas dari berdosa,
Ingatlah kita pada Yang Maha Esa, KepadaNya kita berharap hanya pahala yang bersama.


Saudaraku…

Senipis pergaduhan dan pelbagai tohmahan, Seiring bersama dalam kita berkenalan,
Kekadang membenci dan umpat-umpatan, Walaupun tidak kedengaran tetapi sebenarnya jelas kelihatan.
Saudaraku… Kenapa semua itu harus terjadi, Kita selalu menuding jari di sana sini,
Mengapa kita susah untuk mengerti, Betapa diri amat lemah sekali. Saudaraku…
Inilah kebiasaan yang kita jumpa, Manusia sering bernada manja,
Tetapi hanya pada manusia, Di hadapan Tuhan ego tak terkata.


Saudaraku…
Mungkin tulisan ini banyak cacat celanya, Tetapi bukan perkara itu yang diteliti kita,
Cukuplah sekadar kita renungkan bersama, Muhasabah diri itu yang paling utama.
Saudaraku… Dengan Iman dirimu hadapi dugaan, Menghadapi dugaan yang pelbagai macam,
Bukan dugaan manusia yang kumaksudkan, Tapi dugaan dari Tuhan sekalian alam.
Saudaraku… Sungguh kagum di hati ini, Telah kutemui manusia setabah ini,
Bukan mudah dalam menghadapi ujian hidup ini, Kerana Iman kau semakin berani.


Saudaraku…
Memang sesekali aku tidak mengerti, Namun kupasti dirimu hebat sekali,
Di kala manusia ada yang membenci, Tapi kau masih tetap sabar menghadapi.
Saudaraku… Semestinya aku memang tidak ketahui, Apakah sebenarnya yang engkau miliki,
Melainkan Allah Yang Maha Mengetahui, Samada dirimu penyabar atau dipendam dalam hati.
Saudaraku… Jika benarlah sabar yang engkau miliki, Alhamdulillah memang bertuahlah diri,
Jika sebaliknya yang engkau hadapi, Segeralah berubat dengan penawar hati.


Saudaraku…
Ingatlah ini hanya ujian Yang Maha Mengerti, Tiada satu pun yang hendak menyusahkanmu,
Namun bimbinglah diri mencari yang hakiki, Supaya bahagia jiwa dan kuat Imanmu.
Saudaraku… Kehidupan kita pasti akan terhenti, Selepas itu kita hidup kembali,
Jangan biarkan iman kita mati, Bangkitlah saudaraku perjuangkanlah apa yang kekal abadi.
Saudaraku… Sungguh sayu di hati ini, Sungguh sedih di jiwa ini,
Terkenangkan saat yang kita semua lalui, Masihkah ada peluang itu lagi.


Saudaraku…
Tiada apa yang mampu kuberikan, Hanya harapan dan sebuah permintaan,
Jalinan ukhuwwah yang telah diberikan, Marilah sama-sama kita doakan berkekalan.
Saudaraku… Pertemuan kita penuh hikmah dan satu ujian, Kerana ku pasti semua itu Allah yang takdirkan,
Kerana Allah kita menghadapi pertemuan, KeranaNya jua kita menghadapi berpisahan.



Nukilan:
Mohd Safuan Bin Zakaria,
Pegawai Latihan dan Tarbiah,
HPA Zon Tengah.




0 comments:

About This Blog

HPA Training bertanggungjawab dalam mengendalikan Kursus/Latihan kepada staf HPA, PJS, Ahli HPA dan sebagainya. Jabatan ini terbahagi kepada dua iaitu Latihan Dalaman (khusus kepada staf) dan Latihan Luaran (khusus kepada PJS dan ahli HPA). Antara latihan yang telah dijalankan ialah Kursus Penghayatan HPA-Darjah Awal (KPHPA), Sijil Herbalis, Perkongsian Ilmu Cemerlang (PIC) dan lain-lain lagi.

Kursus penghayatan HPA darjah awal (KPHPA) merupakan Ilham Pengarah urusan HPA yang bertujuan untuk menyemai roh perjuangan HPA dikalangan staf dan Pengarah Jati Setia (PJS). Kursus ini mempunyai 7 tahap iaitu darjah awal sehingga darjah tujuh. Sehingga kini KPHPA darjah awal telah dijalankan sebanyak 7 kumpulan iaitu 5 kumpulan untuk staf HPA dan 2 kumpulan untuk PJS.

Sebanyak 235 staf dan 70 orang PJS telah menghadiri kursus ini dengan jayanya di HPA City Sungai Petani, Kedah. Semoga kursus ini dapat diteruskan dengan izin dan bantuan dari Allah s.w.t.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP